TIADA PROJEK LERENG BUKIT BERISIKO TINGGI DI PULAU PINANG MAKA TIADA LAH KEJADIAN TANAH RUNTUH, KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG PERLU BERTANGGUNGJAWAB!



Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menolak permohonan kelulusan pembinaan daripada pemaju Pulau Pinang yang tapak projek mereka dilanda tanah runtuh pagi semalam. Pemaju memohon kelulusan JAS untuk projek apartmen itu dua tahun lepas pada 5 Januari 2015.

Namun yang demikian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata surat penolakan JAS kepada pemaju Taman Sri Bunga Sdn Bhd telah dikeluarkan pada 23 Januari tahun 2015 selepas mengambil kira semua faktor.

Di antara faktor utama yang mendorong JAS untuk menolak permohonan ini adalah tapak pembinaan itu terletak bersebelahan dengan kuari granit tetap- Kuari Granit Teik- yang memulakan operasi pada 1960.

Kementerian mengatakan permohonan kelulusan pembangunan itu tidak boleh disokong kerana tidak wujud zon penampan yang mencukupi antara projek apartmen dengan aktiviti perlombongan yang berhampiran menurut Garis Panduan Kedudukan dan Zon Industri dan Kawasan Kediaman.

Aktiviti kuari jaraknya hanya 162 meter daripada tapak penghancuran dan antara 400 hingga 500 meter dari tapak letupan kuari dan kawasan itu bukanlah persekitaran yang selamat dan aman untuk didiami manusia.

Jabatan juga berkata pembinaan itu memerlukan kajian kejuruteraan terperinci yang kemudiannya mungkin memerlukan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kerana ia melibatkan tebing curam.

Malangnya, pihak pemaju memutuskan untuk tidak mengikuti nasihat JAS dan meneruskan pembinaan sekaligus secara terang-terangan mengabaikan nyawa pekerja mereka.

Selain itu, Kerajaan Pulau Pinang juga kurang memberi perhatian terhadap projek yang berisiko tinggi ini dengan membenarkan projek kawasan lereng bukit di Pulau Pinang dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa pengawasan rapi.
Walaupun terdapat bantahan JAS sejak mula lagi, pemaju yang telah memulakan kerja pembinaan tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

Kejadian tanah runtuh itu telah menyebabkan 11 pekerja tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah maut di tempat kejadian.

Dalam hal ini, Kerajaan Pulau Pinang perlu menyemak kembali rancangannya untuk membina apa sahaja projek di kawasan lereng bukit. Kerajaan negeri boleh menghalang kejadian serupa daripada berlaku lagi demi kebaikan rakyat dengan memastikan projek-projek di kawasan lereng bukit dipantau sepenuhnya.

Comments